5 JENIS DEFECT PADA DINDING RUMAH. | Belajar Mengecat

5 JENIS DEFECT PADA DINDING RUMAH.


Kalau diikutkan senario industri perumahan di Malaysia, kebanyakan pemilik rumah 'berkongsi' dinding, siling dan lantai rumah. Walaupun elemen-elemen ini dikongsi bersama tidak bermakna anda harus turut berkongsi defect.

Dinding rumah merupakan elemen yang penting untuk sesuatu rumah. Dan untuk mata anda, kerana pada kebanyakan masa anda di rumah, fokus pandangan anda adalah pada dinding. Macammana sekiranya dinding rumah anda mempunyai banyak defect.

Beralun, retak, rekah, senget, effloresence, berlumut dan sebagainya. Bayangkan sekiranya anda perlu 'menonton' semua defect ini setiap hari.

Disini saya ingin berkongsi sedikit tentang jenis-jenis defect yang biasa berlaku pada dinding rumah anda.


1. Dinding Beralun.

Cuba letakkan tangan anda pada dinding dan gerakkan pada sepanjang dinding. Adakah anda dapat rasakan seumpama tedapat alunan pada dinding rumah anda? Jika ya, bermakna dinding rumah anda ada masalah ini.

Masalah ini biasanya berpunca daripada tukang plaster / lepa yang tidak mahir. Sekiranya wave pada dinding rumah anda sangat ketara, masalah ini boleh berpunca daripada kerja ikatan bata.

Untuk lebih pasti, boleh gunakan lampu suluh dan halakan cahaya daripada tepi dinding. Sekiranya dinding rumah beralun, anda boleh lihat bayang bagi kawasan yang beralun.


2. Retakan Rerambut (Hairline Crack).

Defect jenis ini agak susah untuk dikesan. Anda perlu perhatikan betul-betul baru anda boleh mengesan defect jenis ini. Seperti namanya ukurannya hanyalah selebar sehelai rambut sahaja.

Banyak faktor yang boleh menyebabkan defect jenis ini. Antaranya ialah :

- Dinding bata tidak dibasahkan sebelum kerja-kerja plaster menyebabkan air di dalam mortar diserap oleh bata dan menyebabkan berlakunya hairline crack pada plaster.

- Rumah melalui proses untuk settle dan menyebabkan berlaku perbezaan pergerakan antara struktur utama rumah dengan dinding bata. Anda boleh lihat sekiranya hairline crack berlaku pada sambungan antara tiang / beam dan dinding bata.

- Kerja-kerja memasang grill juga akan menyebabkan berlaku hairline crack.

- Cat. Kadang kala hairline crack yang berlaku adalah pada lapisan cat sahaja.

Biasanya defect jenis hairline crack ini tidak merbahaya dan tidak melibatkan kegagalan pada struktur utama rumah.


3. Rekahan (Crack)

Apa beza rekahan dengan retakan rerambut? Rekahan adalah istilah yang digunakan untuk keretakan yang serius. Sekiranya anda boleh melihat cahaya daripada sebelah luar dinding anda maknanya terdapat rekahan pada dinding anda.

Defect jenis ini adalah lebih berbahaya kerana ianya mungkin, saya ulangi, mungkin menghadapi kegagalan pada struktur. Jadi anda boleh mengambil tindakan yang sewajarnya.

Namun begitu ianya boleh juga berpunca daripada kualiti kerja yang kurang memuaskan ataupun nisbah campuran mortar yang salah menyebabkan ikatan antara bata tidak kukuh.


4. Lembap Dan Berlumut.

Sifat bata ialah ianya menyerap air. Jadi ia boleh menyerap air daripada bawah tanah. Biasanya ianya berlaku pada bahagian bawah dinding dan anda boleh rasa dengan menggunakan tangan.


Sebelum kerja mengikat bata dijalankan, DPC (damp proof course) hendaklah dipasang pada lapisan yang pertama. Tujuan DPC ialah untuk menghalang air daripada tanah untuk naik ke dinding bata. Kewujudan air dalam dinding boleh menggalakkan pertumbuhan lumut pada dinding.

Selain itu, dinding yang lembap boleh perpunca daripada berlakunya kebocoran pada paip di dalam dinding. Perkara ini boleh dipastikan dengan melihat sama ada dinding tersebut bersebelahan dengan tandas, dapur dan sebagainya.

5. Blistered, Bertampal-tampal.

Dua defect yang berbeza disini. Blistered adalah pop-up yang berlaku pada dinding. Biasanya disebabkan oleh nisbah campuran plaster yang salah dan ditambahkan dengan proses panas-sejuk pada dinding.

Bertampal-tampal atau patchiness pula disebabkan kualiti kerja yang tidak memuaskan. Anda boleh rasa dengan tangan, malah mungkin anda boleh lihat dengan mata keadaan berbelak-belak pada dinding anda.

Kalau anda perhatikan, kebanyakan defect pada dinding berlaku pada lapisan plaster. Kenapa? Kerana kita tidak dapat melihat defect yang berada disebalik plaster. Mungkin kalau kita pecahkan lapisan plaster, banyak lagi defect yang boleh kita nampak. Tetapi kalau mengikut konsep defect, sebarang defect yang berlaku pada bahagian dalam akan menunjukkan tanda-tanda pada bahagian luar.

Mungkin selepas ini saya akan berkongsi pula cara-cara untuk periksa defect pada dinding, ciri-ciri dinding yang baik (verticallity, horizontality, angle, jointing, alignment dll). Sekian, terima kasih.

Hafiz Ahmad
Ditulis oleh Hafiz Ahmad

Seorang yang suka teh 'o' suam ketika menonton bolasepak, beliau juga aktif membantu mereka yang inginkan kediaman impian dengan kos yang minimum . ''

Powered by Blogger.