CHECK KELUASAN RUMAH ANDA. | Belajar Mengecat

CHECK KELUASAN RUMAH ANDA.


Di dalam perjanjian jual beli (SPA) rumah anda, anda akan dibekalkan dengan satu pelan lantai rumah anda dengan ukuran-ukuran asas bagi rumah tersebut. Tahu tak anda bahawa ukuran keluasan rumah anda mungkin tidak sama seperti di dalam perjanjian.


Walaupun kes ini tidak banyak berlaku tetapi adakah kerana ianya memang jarang berlaku ataupun disebabkan pemilik rumah tidak sedar atau tidak ambil kisah ?


Pada entry kali ini saya akan cuba untuk menerangkan kepada anda tentang cara-cara untuk mengukur keluasan rumah anda. Tapi apa susahnya untuk ukur keluasan rumah, beli pita pengukur dan ukur. Betul ke ?


Walaupun bunyinya senang dan caranya pun senang, anda mungkin akan tertinggal beberapa langkah penting yang mungkin membuatkan ukuran yang anda ambil tersilap. Ramai pemilik rumah yang salah membuat ukuran dan membuat aduan ke TTPR. Tetapi setelah ukuran dibuat oleh pasukan teknikal daripada TTPR mendapati ukuran adalah mengikut seperti SPA.


Untuk mengelakkan anda membazirkan masa wang dan tenaga, di sini saya ada menyediakan panduan asas untuk mengukur luas rumah anda dengan cara yang betul.

Apa yang anda perlukan.

Pita pengukur
Kertas dan pen
Laser Range Finder - optional tapi recomended.


Teknik Mengambil Ukuran.

Sentiasa mengambil ukuran pada kawasan yang berhampiran dengan dinding kerana dinding boleh menjadi asas untuk menentukan kelurusan ukuran anda.

Sentiasa meletakkan pita pengukur di atas lantai. Jangan diangkat tinggi kerana ia akan membuatkan pita pengukur menjadi condong.

Mencatat Bacaan Ukuran.

Anda hendaklah menambahkan semua bacaan yang anda perolehi sebanyak 150 mm (6 inci).
Contoh :
Ukuran yang anda perolehi = 3500 mm
Ukuran sebenar = 3500 mm + 150 mm = 3650 mm

Kenapa perlu tambah 150 mm ?


Semua ukuran di dalam perjanjian jual beli adalah diukur diantara tengah dinding ke tengah dinding. Ukuran yang anda ambil adalah antara luar dinding ke luar dinding. Ukuran ketebalan dinding biasanya ialah 150 mm. Untuk ukuran ke tengah dinding anda perlu tambahkan dengan 75 mm dan untuk dua belah dinding menjadikan ianya sebanyak 150 mm.


Jadi tambahkan 150 mm kepada ukuran yang anda perolehi di tapak seperti contoh diatas.

Catatkan bacaan ukuran yang anda ambil di atas kertas.

Buat Perbandingan.

Setelah selesai membuat semua ukuran, buat perbandingan dengan ukuran di dalam SPA. Jika ukuran yang anda perolehi adalah lebih kecil, sila buat aduan kepada pemaju anda. Pastikan ianya mempunyai perbezaan ukuran yang ketara. Anda digalakkan untuk membuat ukuran yang lebih terperinci dengan melantik Juruukur Berdaftar.


Sekiranya ukuran yang anda perolehi adalah lebih besar, umm... kira rezeki anda lah.

Begitulah serba sedikit tentang cara untuk mengukur keluasan rumah anda. Diharapkan ianya sedikit- sebanyak dapat membantu anda. Selamat mencuba !




Hafiz Ahmad
Ditulis oleh Hafiz Ahmad

Seorang yang suka teh 'o' suam ketika menonton bolasepak, beliau juga aktif membantu mereka yang inginkan kediaman impian dengan kos yang minimum . ''

Powered by Blogger.